AHMAD MASLAN : Saya Tak Bodoh!!!
Barangkali kerana tidak dapat menahan dada yang sentiasa membuak-buak berikutan banyak kenyataan dan hujah-hujahnya dipertikaikan, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan malam tadi menulis di Twitternya "Saya tak lah bodoh sangat. Ijazah pertama di Victoria University Wellington New Zealand. MBA di UKM pelajar terbaik drpd 177. CGPA 3.85".
Barangkali Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO merupakan satu-satunya ahli politik di dunia yang terpaksa menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semata-mata untuk membuktikan beliau seorang yang pandai dan butir-butir kata yang keluar daripada mulutnya bukannya omong kosong tanpa ilmu.
Selalunya ahli politik akan berhujah dengan fakta dan angka dan apabila hujah itu dipertikaikan, fakta dan angka yang lebih kukuh akan dikeluarkan supaya ia tidak dapat disanggah lagi. Tetapi tidak bagi Ahmad Maslan, beliau cuba mematahkan hujah dengan menunjukkan di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya semasa belajar dulu.
Suatu pendekatan baru yang mungkin boleh ditiru ahli politik lain apabila hujah disanggah dan dipangkah.
Lantaran itu, di laman mikro sosial Twitter juga, Ahmad Maslan diserang dengan pelbagai kata-kata sindiran dan ejekan berikutan tindakannya menyebut di mana dia belajar dan pointer yang diperolehinya itu. Pelbagai kata-kata sinis ditujukan semula kepadanya kepadanya termasuk ejaannya yang kerap salah dalam tulisan di Twitter serta ada juga yang membandingkannya dengan pemimpin lain yang ada PhD dan sebagainya.
Sebenarnya orang ramai mempertikaikan banyak kenyataan Ahmad Maslan bukanlah perkara baru. Sejak beliau diangkat menjadi Ketua Penerangan UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri empat tahun lalu, dirinya tidak pernah sunyi daripada serangan dan pertikaian umum.
Semalam, jawapannya di Parlimen yang menyatakan rasa kesal kerana rakyat tidak pernah menyatakan terima kasih atas subsidi yang diterima, sebaliknya menyatakan bantahan apabila ianya dikurangkan, menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. Ramai yang mempertikaikan hujah itu dan seolah-olah rakyat yang turut membayar cukai tidak boleh bersuara langsung terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
Beliau kemudiannya berkata negara tidak mengalami krisis ekonomi walaupun nisbah hutang mencecah 51 peratus daripada LDNK dan ia adalah lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, Italy, Portugal dan Singapura.
Berikutan kenyatan itu, Ahmad Maslan dilabel dengan pelbagai gelaran dan kata-kata yang tidak enak turut dilemparkan terhadapnya.
Sebelum ini juga banyak kenyataannya disanggah dan disifatkan tidak logik. Dalam isu kenaikan harga minyak bulan lalu, Ahmad Maslan telah mengutip teori atau kajian yang entah dari mana dengan nenyatakan kenaikan 20 sen tidak memberi banyak kesan kepada rakyat kerana katanya, rakyat yang berpendapatan RM3000 ke bawah hanya membelanjakan RM132 atau RM4.40 saja sehari untuk petrol manakala yang berpendapatan RM5000 ke atas pula hanya membelanjakan RM375 atau RM12.50 sehari untuk minyak kenderaan mereka.
Hujah dan teori beliau ini seolah-olah semua orang mempunyai pejabat yang berdekatan dengan rumah dan tidak pergi ke mana-mana pada hujung minggu atau cuti umum.
Hujahnya dalam mempertahankan tindakan Najib menaikkan harga minyak lantas mendapat serangan dan ejekan yang paling banyak di laman-laman sosial Facebook dan Twitter kerana beliau seolah-olah pemimpin yang tiada perasaan terhadap derita rakyat dan melihat semua tindakan pemimpin atasannya betul belaka.
Banyak lagi tindakan dan kenyataannya turut menjadi bahan pertikaian sebelum ini. Pelbagai teori yang pernah diutarakannya sebelum PRU 13 terutama untuk menang dalam pilihanraya bukan saja menjadi pertikaian, malahan menjadi bahan persendaan di kalangan ahli UMNO sendiri. Ini kerana beliau sebagai ketua penerangan dilihat seolah-olah tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak melihat dunia politik mempunyai masalah dan halangan yang lebih kompleks serta berbeza-beza mengikut tempat.
Jika semasa menjadi Timbalan Menteri di JPM dulu, beliau sering bercakap berkaitan politik tetapi kini setelah menjadi Timbalan Menteri Kewangan juga, hujah beliau juga jarang lari daripada elemen politik walaupun dalam isu-isu ekonomi dan kewangan negara.
Dan dengan pointer CGPA 3.85 itu, Ahmad Maslah juga bolehlah mendabik dada di kalangan menteri dan timbalan menteri yang ada kerana pastinya tidak ramai yang ada pencapaian seperti itu.
Mulai sekarang juga bolehlah berkata di mana-mana, "saya tak bodoh, saya tak bodoh...."
No comments:
Post a Comment