Hambat Mohd Najib Seberangi Rubicon
A Kadir Jasin
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
SEPERTI Julius Caesar, Emperor Rom, yang membawa bala tenteranya menyeberangi Sungai Rubicon pada tahun 49 SM, kita di Malaysia pun sudah melakukan hal yang sama.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Tetapi janganlah kita berasa terlalu sombong, mendabik dada berkata: “Aku sudah menyeberangi Rubicon.”
Kita terpaksa menyeberangi Rubicon kerana Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak telah terlebih dulu menyeberanginya.
Julius Caesar Menyeberangi Rubicon |
Dalam bahasa Bugis, "kualleangi tallanga natowalia" atau dalam bahasa Melayu Indonesia, lebih kupilih tenggelam (di lautan) daripada harus kembali lagi (ke pantai)". (Daripada blog http://ila-galigo.blogspot.my).
Oleh sebab sebahagian daripada kita kini menjejaki dan menghambat beliau maka kita juga terpaksa ikut menyeberangi Rubicon.
Kita juga terpaksa mengikrarkan apa yang Julius Caesar ikrarkan apabila tenteranya menyeberangi Rubicon. Kata Caesar: “alea iacta est.” Acuan tekan sudah dituang maka terpaksalah kita menerima bentuknya.
Kita sudah berusaha sedaya upaya mengubah keadaan demi menyelamatkan negara kita berlandaskan kebijaksanaan semasa (conventional wisdom). Tetapi kita gagal kerana Mohd Najib tidak berjuang di atas landasan yang sama.
Conventional wisdom nampaknya tidak ada tempat dalam strategi dan tindak-tanduk beliau. Sebaliknya beliau bertindak di luar konvensyen dan kebijaksanaan semata-mata untuk menyelamatkan diri.
Kita terpaksa akur kepada apa yang sedang berlaku, iaitu sesuatu yang belum pernah kita lalui sejak merdeka pada tahun 1957. Kita bermain bola di atas padang yang tidak rata, pengadilnya berat sebelah dan kedudukan gol diubah-ubah.
Berfikir Secara Tidak Konvensional
Dalam situasi itu, kita perlu memikirkan kemungkinan-kemungkinan berikut:
1. Kita terpaksa akur kepada hakikat bahawa Mohd Najib tidak akan meletakkan jawatan dan kita tidak dapat melakukan apa-apa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
2. Kita terpaksa menyediakan minda untuk menerima kemungkinan usaha dilakukan untuk menangguhkan PRU sekiranya Mohd Najib dan konco-konco beliau berasa mereka akan kalah.
3. Kita jangan sekali-kali melakukan hal-hal yang boleh dijadikan alasan oleh Mohd Najib dan konco-konco beliau untuk tidak mengadakan PRU.
4. Sekiranya PRU diadakan, kita perlu melihat ke hadapan melepasi Mohd Najib dan hegemoni Umno/Barisan Nasional.
5. Kita perlu melihat ke satu era baru di mana Umno/BN bukan lagi tempat bergantung kerana Umno dan BN di bawah kepemimpinan sekarang tidak lagi terangkum (incusive) dan peduli kepada kepentingan rakyat jelata. Mereka bertindak seolah-olah mereka “lord and master of the universe.”
6. Kita perlu memikirkan politik yang lebih Malaysia, buta warna, berpaksikan kemanusiaan, ketamadunan dan keluhuran Perlembagaan.
7. Dalam masa terdekat, kita juga perlu memikirkan pewujudan gerakan massa non-partisan yang menggabungkan penggiat dan pesara daripada segala aliran - politik, agama, profesional, cendekiawan, usahawan, pesara tentera dan polis, pemimpin pelajar, badan-badan bukan kerajaan dan sesiapa saja yang komited menyelamatkan Malaysia.
8. Kita perlu mempamerkan kepada dunia yang semakin tidak percaya kepada negara kita bahawa kita peduli dan akan melakukan apa saja bagi menyelamatkan negara kita. Insya-Allah.
Nota: Kepada yang berminat memahami lanjut sebab mengapa saya menguar-uarkan gelaran Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, sila baca di sini.
Makam Sultan Hasanuddin, Raja Gowa, Sulawesi |
Wallahuaklam.
Tunggu apa lagi?
No comments:
Post a Comment