Budi Tidak Semesti Dibalas Dengan Bahasa
A Kadir Jasin
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Dalam konteks blog kita ini, ia adalah bumi tempat kita berpijak di mana kita berbincang dan bertukar-tukar fikiran.
Alhamdulillah, usia blog kita sudah melebihi sembilan tahun. Februari tahun depan genaplah 10 tahun.
Dalam tempoh itu, banyak isu yang telah kita bincangkan. Ramai pembahas datang dan pergi. Begitu juga dengan pembaca dan pengikut (followers).
Insya-Allah, selagi ada tenaga dan kewarasan saya akan terus menulis. Inilah derma yang mampu saya berikan – derma ilmu (knowledge philanthropy).
Dari semasa ke semasa, kita dikunjungi pembahas yang berbeza daripada pembahas lazim.
Mereka ini datang ibarat ribut dan pergi umpama taufan sehingga menyebabkan kita mengesyaki yang mereka ini ada agenda tertentu dan sekadar menggunakan ruang bahas kita ini untuk memenuhi tujuan sempit mereka.
Yang terbaru menepati deskripsi itu adalah “Saja saja”. Beliau begitu galak, rajin dan berani berbahas. Saya gembira mengalu-alukan beliau kerana menyangka beliau seorang pejuang yang komited kepada idealisme. Saya teruja dan akhirnya terpedaya.
Tiba-tiba beliau meminta saya memadamkan semua komen beliau selama ini atas alasan beliau menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak diketahui mengancam beliau.
Beliau berkata, sesetengah anggota keluarga beliau dan kawan-kawan beliau adalah pemimpin tinggi Umno.
Saya berkata saya tidak nampak sebab yang kuat mengapa saya harus memadamkan komen beliau. Lagipun, kata saya komen-komen beliau telah diulas dan dibahaskan dengan luas.
Malam tadi, saya dimaklumkan atau, lebih tepat, dituduh oleh pembahas “silent silent tapioca” (5.05pm) memadamkan komen-komen “Saja saja”.
Saya menjawab, antara lain, “Masya-Allah, dengan nama Allah saya tidak "remove" atau "delete" komen-komen Saja saja.”
Apabila saya memeriksanya, saya dapati menang betul. Komen-komen “Saja saja” telah terpadam dengan notis “This comment has been removed by the author.” (Komen ini telah dipadamkan oleh pengarang).
Kalau saya yang padam, notisnya berbunyi: “This comment has been removed by a blog administrator.” (Komen ini dipadamkan oleh pentadbir blog).
Dalam bahasa yang mudah, “Saja saja” telah “menceroboh masuk” ke dalam blog kita dan memadamkan komen-komen beliau.
Apa hendak buat. Ia sudah berlaku. Saya berdoa dan berharap para pembahas blog ini, biar apa pun pegangan ideologi dan kecenderungan mereka, adalah insan waras, ikhlas dan bijaksana.
Bagi saya, pengalaman dengan “Saja saja” memberi peringatan dan pengajaran bahawa kita berbudi orang tidak semestinya berbahasa.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment